Pada 18 September 2022 yang lalu, seorang ketua bahagian bagi sebuah parti politik di Malaysia dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Umum mengetahui, universiti adalah sebuah institusi awam yang digunakan sebagai tempat untuk melahirkan pelbagai jenis tenaga pakar di kebanyakan sektor. Namun, kini universiti telah dijadikan sebagai ghanimah bagi sesetengah parti politik di Malaysia.
Memperlihatkan kepada perkara ini, saya berasa kesal dengan pelantikannya yang disifatkan sebagai lantikan politik. Universiti merupakan sebuah gudang ilmu – yang seharusnya bersifat neutral – yang mengangkat kepentingan pendidikan dan penyelidikan bagi membentuk pemikiran mahasiswa yang berkualiti. Dengan pembentukan jati diri mahasiswa inilah, mereka boleh berkhidmat dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Demikian itu, bagi merealisasikan aspirasi ini, gudang ilmu seperti UKM haruslah tidak dipengaruhi oleh mana-mana parti politik terutamanya parti pemerintah. Cengkaman politik terhadap universiti awam amatlah memberi impak kepada pembangunan pemikiran mahasiswa yang dilihat bersifat partisan.
Pengaruh politik di pihak pentadbiran boleh menyebabkan mahasiswa terkena tempias tekanan politik sehingga membantutkan pembentukan pemikiran yang kritis. Universiti ini adalah medan untuk mahasiswa bebas bersuara tanpa sebarang tekanan politik dan tidak mengikut telunjuk pentadbiran. Oleh itu, untuk tidak membenarkan keadaan ini berlaku, badan pentadbiran haruslah bersifat neutral dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik.
Kerusi ahli lembaga pengarah tidak seharusnya dijadikan kesempatan politikus untuk membahagikan habuan sesama mereka supaya dapat kekal berpengaruh. Ini adalah universiti awam yang ditajai oleh rakyat Malaysia melalui pembayaran cukai, maka ia adalah milik rakyat Malaysia bukan milik sesetengah ahli politik.
Dalam pada lantikan yang bersifat politik ini boleh berlaku, isu-isu seperti penempatan pelajar masih tetap menghantui mahasiswa. Tindakan ini seolah-olah mencabul hak mahasiswa.
Kita mahukan pentadbiran yang berkhidmat untuk mahasiswa, bukan untuk sang penguasa. Mahasiswa adalah nadi kepada gudang ilmu ini, bukan mana-mana parti politik.
Bebaskan varsiti ini!
