Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) menyambut baik perubahan yang diketengahkan di dalam Majlis Perutusan Tahun Baharu 2023 oleh YAB Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin. Kami menyokong sepenuhnya apabila YAB Menteri menyentuh mengenai Kesatuan Mahasiswa di dalam ucapannya.
Perkara ini memberi sinar baharu bahawa terdapat perubahan struktur yang sedia ada, iaitu daripada Majlis Perwakilan Pelajar kepada Kesatuan Mahasiswa yang akan mewujudkan autonomi mahasiswa dan lebih memanusiakan mahasiswa untuk memimpin tanpa ada cekaman daripada mana-mana pihak.
Tetapi sebagai golongan yang digelar sebagai mahasiswa kami ingin melontarkan pandangan iaitu kami berharap Kesatuan ini tidak jatuh di bawah kuasa Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU). Ini kerana sebuah ‘Kesatuan’ akan menjadi toothless tiger bawah kuasa AUKU yang sedia ada.
Selain itu AUKU juga perlu digantikan, diperbaharui daripada pelbagai aspek bukan pada nama sahaja. Kebebasan mahasiswa yang dijanjikan perlu bermula daripada sekarang.
Tidak dilupakan juga pengurusan universiti juga perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu yang lebih sesuai dengan kehendak YBM, iaitu “the revival of student autonomy” dengan tidak menekan mahasiswa. Sebaliknya memulakan proses kemandirian diri kepada badan pimpinan mahasiswa sendiri.
Kami berharap agar usaha mewujudkan kesatuan mahasiswa ini dimulakan dengan memberikan pendedahan kepada para mahasiswa untuk kami memahami kepentingannya. Kami juga ingin memainkan peranan yang penting dalam usaha KPT untuk mempromosi dan mendidik mahasiswa di seluruh negara tentang student ‘autonomy’ dan ‘unionism’. Pendekatan yang terbaik bagi usaha ini adalah ‘bottom up approach’ yang melibatkan semua pemegang taruh terutamanya golongan mahasiswa dan juga pendidik. Semoga usaha ini dapat dijayakan dengan kerjasama KPT dan semua mahasiswa di Malaysia.
