Kami dengan sepenuh hati mendukung usaha semua pihak yang bekerja keras untuk mengambil langkah yang lebih keras dalam memelihara hak kanak-kanak serta masa hadapan mereka. Kami berpendapat pihak KPWKM tidak sedar bagaimana kebejatan perkahwinan kanak-kanak bawah umur ini dapat menjejaskan sistem sosial dalam jangka masa yang panjang.
Perubahan perundangan tidak sewajarnya dijadikan sebagai suatu bentuk pilihan bagi mengatasi isu perkahwinan bawah umur. Sebaliknya, ia perlu dijadikan langkah yang pertama dan utama dalam membanteras fenomena ini. Walaupun kesiapsiagaan melalui pendidikan, kesihatan, advokasi merupakan langkah yang penting, namun usaha-usaha tersebut tidak cukup untuk menampung kesan sosial sekiranya tidak menggunakan undang-undang untuk menghentikan perkara ini. Perkahwinan bawah umur bukan setakat perlu dikurangkan, malah perlu dihentikan!
Isu perkahwinan kanak kanak bawah umur adalah suatu isu yang perlu ditangani di peringkat nasional demi melahirkan sistem sosial yang sejahtera. Pemerintah hari ini telah pun ‘dihidangkan’ kepada mereka Pelan Strategik Kebangsaan yang dimulakan oleh mantan Timbalan Perdana Menteri serta mantan Menteri KPWKM, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang telah merencanakan tindakan-tindakan berpadu untuk membanteras masalah perkahwinan bawah umur ini. Menteri Rina serta Timbalan Menteri Siti Zailah hanya perlu meneruskan usaha pendahulu mereka.
Sehubungan dengan itu, kami berharap pihak KPWKM dapat menilai semula keputusan mereka supaya lebih ‘menjejak tanah’ dalam merangka solusi bagi menangani isu yang berat seperti ini. Jikalau bukan KPWKM yang membela nasib anak perempuan bangsa, siapa lagi?
