Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) mengambil berat tentang isu Gugur Taraf pelajar UiTM akibat terlepas tarikh akhir membayar yuran baru-baru ini. Kami cakna akan nasib tentang rakan-rakan mahasiswa kami di UiTM yang digugurtaraf tanpa sedar tentang tarikh penutupan pembayaran.
Oleh itu, kami menggesa supaya pihak UiTM mengembalikan semula polisi pembayaran yang dahulu sewaktu zaman PKP iaitu yuran boleh dibayar pada hujung semester. Hal ini kerana tahun 2023 merupakan tahun yang amat mencabar dengan masalah inflasi dunia dan kos sara hidup. Tarikh pembayaran pada akhir semester memberi ruang kepada pelajar untuk mengumpul duit untuk membayar yuran.
Bukan itu sahaja, kami juga sedar bahawa terdapat masalah komunikasi di mana hebahan tarikh akhir pembayaran itu tidak disebarkan secara meluas. Perkara ini boleh dilihat apabila terdapat sejumlah pelajar yang besar yang tidak sempat membuat pembayaran yuran pengajian kerana tidak sedar atau mengetahui tentang maklumat tersebut. Oleh itu, penambahbaikan komunikasi antara mahasiswa perlu ditingkatkan.
Malahan kami juga mendesak supaya dihapuskan denda untuk memohon Rayuan Pembatalan Gugur Taraf (RPGT). Ini kerana jumlahnya yang terlalu tinggi iaitu RM200. Dengan keadaan pertama kali UiTM kembali ke polisi tempoh pembayaran asal, sewajarnya universiti memahami bahawa pelajar memerlukan tempoh untuk membiasakan diri dalam kembali kepada keadaan asal. Sewajarnya denda-denda sebegini tidak dikenakan untuk kali ini.
UiTM perlu kembali ke pangkal jalannya iaitu membantu Bumiputera, dan bukannya mengambil kesempatan dalam kesempitan. Lebih-lebih lagi sewaktu pelajarnya sedang sibuk meraikan perayaan mulia di bulan Syawal.
Kami berharap akan ada penambahbaikan mengenai masalah yuran yang dihadapi pelajar di UiTM ini dan berharap perkara ini tidak akan berulang lagi di semester hadapan. UiTM perlu bersifat lebih empati, manusiawi dan memahami kepayahan mahasiswa.