Walaupun pada ciapan beliau pada lewat malam semalam telah menyatakan jumlah responden yang terlibat dalam kajian yang dijalankan oleh badan tertentu namun kesahihan kajian tersebut masih tidak dapat dibuktikan sehingga hari ini. Malah kajian tersebut tidak diterbitkan bagi rujukan umum maka hal ini jelas kajian tersebut hanya boleh digambarkan sebagai serkap jarang yang ditunggang oleh YAB Menteri untuk menunjukkan beliau mengambil tahu akan emosi mahasiswa hakikatnya air besar sampan tak hanyut.
Ciapan beliau itu juga menyatakan pendekatan yang diambil oleh pihak KPT dalam membendung masalah tersebut iaitu dengan menyediakan program berbentuk kaunseling. Mahasiswa Keadilan Malaysia(MKM) menyambut baik pendekatan yang diambil ini akan tetapi persoalan adakah ianya membantu dalam memberi solusi terhadap permasalahan akar yang dihadapi oleh pelajar. Justeru itu, menurut sebuah kajian mengenai cabaran pelajar mengharungi pdp atas talian yang dikhususkan di institusi pengajian tinggi awam Malaysia, kebanyakkan pelajar menghadapi permasalahan capaian internet, kos internet yang tinggi, suasana yang tidak kondusif untuk belajar dan tahap keberkesanan pembelajaran di rumah. Disebabkan perkara-perkara tersebut telah menjadi punca kepada tekanan yang dihadapi oleh para penuntut.
Sehubungan itu, MKM mensyorkan YAB Menteri untuk duduk semeja dengan kementerian berwajib dalam menguruskan permasalahan yang dihadapi oleh pelajar antaranya ialah Kementerian Multimedia dan Komunikasi. Umum sedia maklum negara telah menghadapi pandemik bukan baru sehari dua malah sudah hampir dua tahun namun begitu permasalahan yang sama dengan pentadbiran menteri yang sama masih dihadapi oleh para pelajar.
Rujukan: Yahaya, Mahathir and Hayat Adnan, Wardatul(2021) Cabaran pelajar melalui kaedah pembelajaran atas talian: kajian institusi pengajian tinggi awam Malaysia / Mahathir Yahaya and Wardatul Hayat Adnan. Journal of Media and Information Warfare (JMIW), 14. pp. 11-20. ISSN 1985-563X