Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau dikenali sebagai Buya hamka adalah seorang pemikir, ulama, penulis dan tokoh intelektual islam membahagikan 7 wadah utama yang perlu ada dalam diri seorang “aktivis” dan masyarakat dalam mengukuhkan wewenang sebagai alat manusia, Antaranya;
1)Pendidikan Budi
2)Pendidikan Akal
3)Perlebarkanlah Lapangan Perjuangan
4)Orang yang Merdeka tidak gentar Menghadapi Kemerdekaan Orang lain
5)Parti Politik
6)Merdeka dari Pengaruh Harta
7)Merdeka dari Pengaruh Perempuan
Baik, sekarang mari kita refleksi atau ‘tadabbur’ apa yang cuba Hamka hendak sampaikan kepada kita
1).Melihat kepada wadah utama ‘Merdeka’ , Hamka memberikan subjek pendidikan budi untuk kita wacanakan dalam diri manusia. Hamka nasihat kita supaya menjaga kehormatan dan harga diri, maksudnya mempertahankan pendirian yang timbul daripada fikiran kita setelah menimbang mana baik dan buruknya, juga membiasakan diri berkata terus terang, berani melawan kebathilan, sabar atas perjuangan ujian, bertahan terhadap tomahan kritikan, dan teguh di atas prinsip. —Inilah pokok utama bagi seorang merdeka.
“Untuk menaklukkan orang banyak kepada pendapat kita sendiri, lebih dahulu kita harus belajar menaklukkan diri sendiri. menekankan syahwat dan nafsu, merdeka dari suatu maksud yang lain, serta percaya apa yang dikerjakan atau apa yang dikatakan itu benar adanya.”
2).Membaca dan menulis adalah wahana mekanisme bagi pendidikan akal. Manusia sebagai umat “iqra” ini hendaklah memperbanyakkan menyelidik dan bersifat kritikal dalam menimbang segala perkara yang baru terjadi. Umat Islam ini usah takut wacana kritis dalam beragama supaya perkara-perkara seperti Khurafat, Bidaah, dan Penglipur lara terhapus dalam agama ini.
“Kekuatan membanding, menimbang, memikirkan, menyelidiki, sehingga dari ragu menjadi yakin, tidak dihambat oleh keadaan yang ada di sekeliling, itulah alat-alat yang tidak boleh tidak dalam mendidik akal dan membuat suatu diri yang merdeka.”
3).Kemerdekaan tidak akan tertegak jikalau, manusia ini tidak melemparkan diri ke lapangan perjuangan dalam menyatakan pendirian sendiri dan berani untuk berkorban. Belum sempurna perjuangan kita, jika kita tidak mengakui pendirian orang lain walaupun pendirian itu berlawan dengan perasaan kita dan tidak benar menurut pertimbangan akal kita. Inilah dikatakan kemerdekaan yang ditekankan oleh Hamka supaya menghormati perbezaan pendapat waima menurut kita adalah salah pada pertimbangan keritisan akal kita.
4).Kemanusiaan Insan haruslah selari dengan mengiktiraf kepelbagaian pandangan di mana kuncinya adalah “sama-sama tahu”(saling mengerti). Hamka menasihatkan kepada para pemerintah dan semua manusia supaya tidak berhawa nafsu dalam memerangi kebebasan berfikir demi mermerdekakan hak rakyat. Pokok utamanya ialah berikanlah kesempatan berfikir dan tidak keras kepala mempertahankan pendirian dengan tidak beralasan.
“Melebarkan pintu berfikir adalah pintu utama dalam menuju kemerdekaan.”
5). Tujuan sesebuah parti politik adalah agar fahaman atau ideologi parti itu dapat akhirnya mempengaruhi cara dan matlamat pemerintahan sesebuah negara. (SEMASA MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG AKTA PERTUBUHAN (PINDAAN) 1989 (BACAAN KALI KEDUA) Namun dalam konteks kemerdekaan pada hemat Hamka, parti politik itu berperanan sebagai wahana individu dalam menyatakan kebenaran, menegakkan keadilan, memperpanjangkan buah fikirnya. Hamka juga menasihatkan supaya jangan takut untuk melawan kebrobokan parti walaupun daripada parti kita sendiri. Keikhlasan dalam memasuki lapangan parti politiklah menjadikan individu itu seorang yang merdeka. Asas utama yang perlu dipegang oleh seorang aktivis adalah “keadilan”.
“Keikhlasan itu harus engkau nyatakan dengan terus terang, bilamana engkau lihat parti telah meninggalkan asasnya yang pertama. Itu harus engkau bantah. Lawan sekuat-kuat tenagamu. Sika serangan itu harus dengan aturan yang hormat di dalam lingkungan parti itu sendiri, jangan di luarnya. Tetapi kalau engkau lihat bahawa usahamu itu tidak akan berhasil lagi, sudah nampak bahawa parti telah dipengaruhi oleh satu tangan dan satu perbuatan yang tidak jujur, lekas-lekas engkau keluar, dan jangan ditahan-tahan lagi buat memerangi parti itu. Nyatakan dan buka kepada rakyat segala kesalahan dan kecurangannya. Dengan cara demikian, terpeliharalah kemerdekaanmu yang mahal itu. Setelah itu, kalau engkau hendak memelihara kemerdekaan itu dengan penyiaran, dengan mengarang brosur, mengarang buku-buku, di surat-surat khabar atau pidato.”
6). Dalam pada itu, Merdeka daripada harta membawa maksud nikmat kemerdekaan tidak akan tercapai jika pengaruh harta masih dijajah oleh fikiran kita. Bagaimana kita ingin menyatakan kebenaran, atau memegang erat pada pendapat kita, jikalau kita tamak kepada harta dan pangkat (kehormatan) ini? Orang yang cerdik dan pintar itu ramai sekali tetapi telah tertipu oleh jiwanya sendiri iaitu pengaruh harta. Makanya, pedagogi kekuatan budi akal itu adalah pegangan kita untuk merdeka daripada kekuatan harta.
“Bertambah tidak pedulimu kepada harta, bertambah naik tawanan orang yang hendak memperkuda-kudamu. Ada dengan maksud mengambilmu jadi perkakas, atau supaya engkau diam. Sebab engkau “berbahaya” bagi mereka.
Sebab itu perjuangan yang paling besar ialah melepaskan diri dari pengaruh harta.”
7). Kemerdekaan bagi seorang lelaki adalah merdeka daripada pengaruh perempuan. Hal ini kerana sebahagian orang perempuan banyak dipengaruhi oleh hawa nafsunya sendiri, apabila diberikan pendirian yang berbeza, pendapat yang tidak sama dengan perasaanya, maka yang dinampak adalah perpecahan, dan bahaya sahaja yang dilihat tanpa melihat sisi faedahnya. Orang lelaki seharusnya berhati-hati dengan tabiat seorang wanita yang mengiktiarkan akal mereka sama dengan akal kita. Kemerdekaan kita telah dipergunakan oleh naratif mereka untuk kegunaan pendirian mereka. Jangan sesekali membiarkan kebebasan akal dan kebebasan berfikir menjerat kemerdekaan keyakinan dalam menyatakan pendapat di dalam dunia ini, ianya haruslah dipupuk dan dijaga daripada pengaruh seorang perempuan.
“Sebab itu hati-hatilah dengan perempuan. Jangan sampai tabiat perempuan itu engkau lupakan. Menurut ukuran dia, segala sikapnya itu adalah lantaran cinta kepada engkau, tetapi engkau tidak sedar cintanya itu membunuh kemerdekaanmu.”