Rukun Negara Diubah?

Rentetan daripada pengumuman Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, bahawa lafaz Ikrar Rukun Negara akan diselaraskan bermula dengan bacaan penuh mukadimah, ada segelintir pihak yang mendakwa bahawa Rukun Negara diubah. Tuduhan berat ini dibuat atas asas wujudnya perkataan “liberal” dalam lafaz yang ingin diselaraskan tersebut.

Rukun Negara merupakan falsafah kebangsaan yang disulam ke dalam fabrik Malaysia sejak pengenalannya pada tanggal 31 Ogos 1970. Lahir sebagai reaksi kepada peristiwa hitam dalam sejarah negara kita—tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969—ia mencerminkan komitmen kerajaan pada ketika itu kepada perpaduan dan kestabilan.

Kenangan melafazkan Ikrar Rukun Negara sewaktu di bangku persekolahan sudah tentu akan membangkitkan rasa nostalgia bagi ramai rakyat Malaysia. Di sekolah penulis, lafaz Ikrar Rukun Negara dimulakan dengan “Maka kami….”. Di sekolah lain pula, lafaz Ikrar Rukun Negara dimulakan dengan mukadimahnya. Varian dalam perkataan awalan sedikit sebanyak menyumbang kepada penularan isu ini. Namun begitu, amatlah keterlaluan untuk memfitnah bahawa Rukun Negara diubah tanpa menelaah apakah  isu yang ingin diulas terlebih dahulu.

Terma “liberal” yang dianggap tabu dalam kalangan masyarakat sebenarnya terkandung dalam Rukun Negara sejak awal penyusunnya lagi. Jika diteliti lafaz ikrar, ada disebutkan bahawa terdapat beberapa cita-cita yang ingin dicapai oleh rakyat Malaysia. Akan tetapi, cita-cita ini tidak diketahui umum, menyebabkan wujudnya ketidak sedaran dalam kalangan masyarakat akan citra yang ingin ditanamkan oleh pemimpin terdahulu kepada masyarakat kita. 

Liberal yang dimaksudkan di sini adalah keterbukaan menerima kepelbagaian budaya di Malaysia.

Masyarakat kita yang majoritinya konservatif terlalu anti dan prejudis dengan perkataan “liberal”, bertindak impulsif sehingga meloncat seperti cacing kepanasan dan sanggup memfitnah Rukun Negara diubah apabila menemui perkataan terbabit dalam Rukun Negara. Namun begitu, jika diminta mentakrifkan perkataan itu, ramai yang tidak mampu menjawabnya.

Mereka berdegar-degar mengatakan mereka pejuang Agama, Bangsa dan Negara, tetapi hakikatnya mereka golongan yang jahil soal intipati Rukun Negara. Pejuang apa begini? Lebih teruk lagi, mereka melanggar prinsip kelima Rukun Negara, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan, apabila membuat tuduhan tanpa asas bahawa ia diubah dan mengadu domba masyarakat supaya saling syak mengesyaki?

Share :
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
TERKINI

ARTIKEL BERKAITAN