Strategi Luar Kotak Diperlukan Bagi Menyelesaikan Defisit Penempatan Pelajar

Isu penempatan pelajar merupakan isu yang tidak asing lagi dalam arena pendidikan tinggi negara. Ramai pelajar daripada pelbagai latar belakang dan universiti mengalami masalah untuk mendapatkan penempatan yang kondusif bagi situasi masing-masing. Isu penempatan pelajar yang sepatutnya diberikan perhatian serius oleh pihak berwajib kerana melibatkan kemaslahatan mahasiswa/i, dianggap remeh dan perlu diselesaikan oleh pelajar sendiri. Walhal, masalah sewajibnya dititik beratkan kerana mampu mempengaruhi prestasi akademik dan boleh memberikan dampak negatif terhadap kesihatan mental mereka.

Pada tahun lepas, hangat diperkatakan mengenai isu kolej kediaman di beberapa IPTA di beberapa negeri. Kebanyakan mereka yang terjejas akan isu tersebut termasuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana, selain pelajar yang mengikuti pengajian jauh dari tempat tinggal mereka. Antara isu yang timbul termasuk deposit rumah sewa yang terlampau tinggi dan keadaan rumah sewa yang tidak mesra penghuni.

Perlu dilihat bahawa saban tahun, jumlah pelajar yang diterima masuk ke universiti semakin meningkat. Akan tetapi, kebanyakan fasiliti terutamanya kolej kediaman tidak ditambah kapasitinya dengan alasan kos yang terlampau tinggi dan sebagainya. Natijahnya, pelajar perlu mengambil inisiatif untuk mencari rumah mahupun bilik sewa di luar kampus.

Bagi menyelesaikan isu ini, pendekatan baru oleh pelbagai pemegang taruh termasuk kerajaan dan pihak pentadbiran universiti amatlah diperlukan. Wujud keperluan bagi pihak kerajaan untuk mewujudkan suatu bentuk legislasi yang komprehensif untuk mengawal harga rumah sewa dan memastikan bahawa para pelajar mampu mendapatkan penempatan yang sebaiknya. Pihak universiti, khususnya universiti yang mempunyai beberapa kampus atau cawangan juga perlu memastikan bahawa para pelajar ditempatkan di kampus yang berhampiran dengan kediaman mereka. Meletakkan pelajar yang berasal dari Sabah dan Sarawak misalnya, di universiti yang terletak di Semenanjung Malaysia amatlah tidak wajar. Tindakan bukan saja menyukarkan mereka untuk mencari tempat tinggal, malah menafikan hak mereka untuk pulang ke rumah sewaktu cuti akibat tambang pengangkutan yang mencekik darah.

Selain itu, idea-idea segar juga didahagakan bagi menyelesaikan isu defisit akomodasi pelajar. Idea seperti penubuhan Koperasi Perumahan Mahasiswa wajar dikaji oleh pihak-pihak berkepentingan. Penubuhan koperasi perumahan ini dapat membantu pelajar dalam mendapatkan tempat tinggal yang selesa pada harga yang berpatutan.

Kerajaan juga sepatutnya meneliti cadangan untuk melaksanakan inisiatif dimana mahasiswa/i akan tinggal bersama dengan keluarga angkat semasa tempoh pengajian mereka. Hal ini bukan sahaja mampu mengurangkan perbelanjaan mahasiswa malah boleh menjadi medium buat pelajar untuk menimba pengalaman yang mampu membangun modal insan mereka. Kerajaan boleh menawarkan insentif seperti potongan cukai, bantuan fiskal dan sebagainya bagi mengalakkan lebih banyak keluarga menyertai inisiatif ini.

Mahasiswa merupakan pewaris negara bangsa kita, Malaysia. Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak bagi memastikan kebajikan mereka ini terpelihara. Mereka tidak seharusnya dipaksa menyelesaikan isu-isu sebegini sendiri, kerana ia mampu menganggu fokus mereka dalam mendalami ilmu dan kemahiran di varsiti masing-masing.

Nota: Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis, tidak mewakili pandangan rasmi Mahasiswa Keadilan Malaysia.

Share :
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
TERKINI

ARTIKEL BERKAITAN

Rukun Negara Diubah?

Rentetan daripada pengumuman Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, bahawa lafaz Ikrar Rukun Negara akan diselaraskan bermula dengan bacaan penuh mukadimah, ada segelintir pihak yang mendakwa bahawa Rukun Negara diubah. Tuduhan berat ini dibuat atas asas wujudnya perkataan “liberal” dalam lafaz yang ingin diselaraskan tersebut.

Baca Lanjut »