Hentikan Diskriminasi Terhadap Ahli Politik Wanita

Baru-baru ini, tular satu video berdurasi seminit 34 saat di mana seorang pempengaruh mempertikaikan cara pemakaian Ahli Parlimen Bentong, YB Young Syefura binti Othman di pentas ceramah Malaysia Madani di Kedah pada Sabtu, 15 Julai 2023. Kenyataan yang dibuat oleh pempengaruh tersebut jelas merupakan serangan berbentuk seksis dan berunsur gangguan lucah terhadap beliau. Budaya politik sempit dan tidak matang ini haruslah dihentikan serta merta.

Budaya seksisme dalam politik bukanlah sesuatu yang baharu. Saya berasa cukup kesal apabila seorang ahli politik wanita diobjektifikasi sekaligus lantang dihina dan dicerca oleh penyokong parti politik lawan. Budaya politik seksis yang jelas menjejaskan imej serta menjatuhkan martabat wanita sewajarnya ditolak dengan tegasnya oleh semua rakyat Malaysia. Ini bukanlah kali pertama seorang ahli politik wanita menerima ancaman sebegitu rupa. Hakikatnya, wanita dalam politik menghadapi pelbagai bentuk keganasan berasaskan gender pada peringkat profesional dan akar umbi.

Setiap ahli politik sewajarnya dikritik secara konstruktif berdasarkan hujah serta kredibilitinya sebagai seorang wakil rakyat dan bukanlah melalui cara pemakaian atau sebarang bentuk keganasan berasaskan gender. Politik sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk wanita bersama-sama bekerjasama menyumbangkan idea kepada aspek pembangunan negara. Adalah tidak wajar untuk kita terus bersikap prejudis terhadap wanita. Wanita merupakan golongan yang memainkan peranan penting dalam sesebuah struktur masyarakat serta merupakan salah satu tonggak pembangunan negara dalam pelbagai aspek berkepentingan terutamanya ekonomi, politik dan sosial.

Berikutan daripada serangan yang telah dibuat, diharapkan agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memainkan peranan yang lebih proaktif terhadap keganasan berasaskan gender dalam talian termasuk terhadap ahli politik wanita. Taktik kotor seperti memandang wanita sebagai objek dalam politik seharusnya ditolak oleh setiap parti politik tanpa mengira bangsa, agama dan jantina. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan hak wanita terus dibela serta memainkan peranan bagi menghapuskan diskriminasi terhadap wanita di setiap sektor seperti politik, ekonomi dan sosio-budaya.

Daripada sudut gerakan mahasiswa, marilah kita bersolidariti bersama-sama YB Young Syefura serta terus giat memberi kesedaran dan mendidik masyarakat awam untuk menentang sebarang bentuk penindasan dan prejudis terhadap wanita. Janganlah kita bersikap memilih dalam perjuangan membela hak asasi manusia oleh sebab berlainan parti politik dan ideologi.

Share :
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
TERKINI

ARTIKEL BERKAITAN

100 Hari Rakyat Malaysia Dikhianati

Hari ini adalah genap 100 hari, Kerajaan Perikatan Nasional berada di tampuk pemerintahan negara. Mandat rakyat Malaysia yang diterjemahkan melalui peti undi pada Pilihanraya Umum yang lepas telah dikhianati beberapa watak dan kelompok.

Baca Lanjut »