Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan kenyataan tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh seorang Tuan Menteri Besar bahawa kononnya Negeri Pulau Pinang dimiliki oleh Negeri Kedah. Demi menyokong kenyataan halusinasi beliau, sampai Perlembagaan Persekutuan juga beliau minta untuk dipinda supaya sesuaikan dengan naratifnya.
Namun, saya ingin bertanya kepada beliau, pernahkah beliau berfikir tentang implikasi jika Pulau Pinang menang diserap masuk ke dalam Negeri Kedah?
Dari segi politik, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dan Pulau Pinang semestinya akan digabungkan. Pada masa kini, DUN Kedah mempunyai 36 kerusi manakala DUN Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi, berjumlah 76 kerusi. Untuk menubuhkan kerajaan negeri, sesebuah parti harus memperolehi jumlah kerusi majoriti mudah, iaitu 38 kerusi. Pakatan Harapan mempunyai 43 kerusi jika digabungkan, berbanding dengan Perikatan Nasional yang hanya ada 22 kerusi.
Adakah Tuan Menteri Besar ini sanggup melepaskan jawatan Menteri Besar demi “penyatuan Kedah”? Sanggupkah Tuan Menteri Besar ini melepaskan kereta rasmi Vellfire pengerusi syarikat air yang bernombor plat “KEP 5000” demi “penyatuan Kedah”?
Berbincang tentang air, jangan lupa, “penyatuan Kedah” ini juga akan membawa kesan kepada sistem perkhidmatan air di Kedah dan Pulau Pinang. Kita masih ingat betapa hebatnya Tuan Menteri Besar ini minta orang kampungnya sekat air Sungai Muda kerana kononnya Pulau Pinang mencuri air sungai tersebut, “saya kerah orang kampung suruh boh pasir dalam guni belat sungai di Pinang Tunggal!”
Adakah projek sekat sungai ini akan diteruskan selepas Pulau Pinang diserap masuk ke dalam Kedah? Jangan kita lupa, walaupun bermimpi untuk menyekat air sungai, negeri yang menghadapi masalah bekalan air berbulan-bulan bukan Pulau Pinang, tetapi Negeri Kedah, di mana Tuan Menteri Besar ini juga pengerusi syarikat air sana.
Selain itu, jangan kita lupakan anak-anak muda Kedah yang sedang bekerja di Bayan Lepas. Adakah kita mahu peluang mereka mencari rezeki di negeri sebelah tenggelam seperti projek Kedah Rubber City yang dirasmikan oleh Tuan Menteri Besar ini?
Mungkin, hanya mungkin, beliau tidak pernah memikirkan bahawa Pulau Pinang betul-betul akan “dikembalikan” kepada Kedah serta implikasinya, kerana semua ini hanya naratif hasutan yang tidak bertanggungjawab yang dipermainkan oleh beliau untuk kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sudah berdekatan ini.
Jangan kita lupa, kenyataan Tuan Menteri Besar ini juga akan membawa musibah kepada negara kita. Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan surat biadab yang ditulis oleh peguam waris Sulu kepada Peguam Negara yang mendakwa mereka berhak atas Sabah dan tuntutan berfaedah sebanyak RM 142 bilion. Dua-dua insiden ini berlaku pada masa yang berdekatan dan kita harus mengambil iktibar daripadanya.
Kalau Kedah berhak kepada Pulau Pinang, adakah budaya “klaim-mengklaim” ini juga boleh diamalkan oleh negeri dan negara lain?
Bolehkah Datuk Onn Hafiz “klaim” Singapura dimiliki Johor?
Bolehkah Sultan Brunei “klaim” Sabah dan Sarawak dimiliki Brunei?
Bolehkah Prayut “klaim” Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu dimiliki Siam?
Bolehkah Raja Charles “klaim” Malaysia dimiliki United Kingdom?
Bolehkah waris Arwah Sultan Parameswara “klaim” Semenanjung Malaysia, Singapura serta sebahagian Indonesia dimiliki Melaka?
Jawapannya tentulah TIDAK BOLEH. Jangan kerana PRN seorang Tuan Menteri Besar ini mengeluarkan kenyataan yang bakal menggadaikan kedaulatan tanah air kita!
Oleh itu, saya berharap Tuan Menteri Besar ini boleh berfikir sebelum berhujah. Jangan kita ambil senapang tembak kaki sendiri dan tembak seluruh negara Malaysia.