Bom Atom, Hiroshima dan Keinsafan Peristiwa 13 Mei

Tanggal 6 Ogos akan datang, genaplah 78 tahun gugurnya bom atom di Hiroshima. Kemudian, pada keesokan hari berikutnya 7 Ogos genap pula 78 tahun bom kedua yang digugurkan di kota Nagasaki.

Dalam kejadian pertama, bom yang diberi gelar “Little Boy’ yang mempunyai 20,000 tan bahan letupan TNT telah meratakan Hiroshima dan sekali gus membunuh 120,000 orang. Di Nagasaki pula, 70,000 orang terbunuh, ratusan ribu yang lain cedera.

Secara perbandingan, lebih banyak manusia menjadi mangsa dalam satu kejadian malapetaka gunung berapi atau gempa bumi yang dahsyat dari kedua-dua bom atom yang telah digugurkan itu. Gempa bumi di daerah Shanxi, China pada 24 Januari 1446, misalnya telah mengorbankan 830,000 orang.

Lagi pula, bilangan mereka yang mati di Hiroshima dan Nagasaki tidak lebih 2 peratus daripada jumlah kematian dalam Perang Dunia Kedua yang memakan 45 juta korban. Sejak tamadun bermula, manusia sudah berperang antara satu sama lain. Sejarah sebahagiannya merupakan usaha untuk mengkaji dan menelaah kisah perang. Perang memulakan tamadun, membina empayar dan menjadi asas kekuatan negara bangsa. Tetapi dalam sejarah manusia moden, Perang Dunia Pertama memulakan tradisi “perang besar”. Korbannya ke atas manusia dan harta benda melampaui segala peperangan yang diketahui oleh manusia sebelum itu.

Perang yang berakhir pada 11 November 1919 itu memakan korban 10 juta manusia. Lima juta yang lain mati kerana kebuluran atau penyakit sementara 22 juta mendapat cedera atau mengalami kecacatan.

Dua puluh tahun, 9 bulan hari dan 18 jam kemudian, manusia berperang semula.
Kali ini peperangan itu dikenali sebagai Perang Dunia Kedua. Hanya bom yang digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki dan tindakan Adolf Hitler membunuh diri bersama kekasihnya di Berlin yang menamatkan perang itu. Bagi banyak pihak, bom itu memang patut digugurkan.

Itu sahaja caranya mengajar kedegilan Jepun dan menghentikan dasar penaklukannya. Apalah Little
Boy kalau dibandingkan dengan kemusnahan dalam perang itu? Apakah 190,000 nyawa di dua buah kota itu jilkalau dibandingkan dengan kemungkinan perang yang berpanjangan?

PERALATAN TENTERA

Perang Dunia Kedua harus ditamatkan. Maka termaktublah, bahawa di Asia, perang itu hanya boleh ditamatkan dengan mengorbankan lebih banyak orang awam. Tidak ada penempatan senjata, kem tentera yang penting atau kilang membuat peralatan tentera di Hiroshima atau Nagasaki.

Yang ada hanya manusia. Ratusan ribu manusia yang tidak pernah terbayang bahawa mereka harus menjadi mangsa untuk menyelamatkan kemanusiaan seluruhnya.

Atau begitulah harapan di sebalik setiap keputusan sedahsyat itu. Malangnya tidak
siapa pun yang bernafas pada pagi 6 Ogos 1945 dan Warga Nagasaki pada pagi 8 Ogos itu, yang sedar bahawa keputusan politik dan ketenteraan pada peringkat yang paling tinggi telah dibuat ke atas nasib mereka.

Memang tidak ada siapa yang mahukan Perang Dunia Kedua berterusan. Tetapi melepaskan bom sekuat atom ke atas penempatan awam bukan alasan yang baik untuk menghentikan perang. Maka oleh sebab itu ramai ahli sejarah mulai mempertikaikan perkara yang dianggap bijaksana itu (atau kebebalan).

Setiap tahun akan diadakan ritual memperingati kedua-dua kejadian itu. Tetapi seperti biasa, manusia mempunyai ingatan yang pendek. Manusia akan merencana bom yang jauh lebih berkesan dari Little Boy.

Ancaman perang nuklear menjadi begitu jelas pada era Perang Dingin. Atas alasan mengkhuatiri dan mengesyaki yang lain, manusia mencipta senjata yang jauh lebih dahsyat dari bom atom yang kini bertaraf primitif itu. Perlumbaan membuat bom paling canggih, paling memusnah dan paling banyak membunuh belum berakhir. Ancaman perang nuklear tidak berakhir dengan persefahaman untuk mengurangkan bilangannya. Jauh dari laporan media, banyak negara mempunyai teknologi dan kecenderungan untuk mencipta senjata pemusnah yang lebih menakutkan.

Bagi banyak pihak, terkait pula dengan apa yang berlaku di Malaysia dalam peristiwa 13 Mei 1969 lalu adalah merupakan manifestasi krisis conscience. Masyarakat dunia dan rakyat Malaysia sepatutnya sudah belajar dari Hitler, bom atom dan sekian banyak perang yang telah dilalui. Jiwa setiap rakyat Malaysia perlu diselamatkan kerana pada jiwa kitalah yang mempunyai bancuhan yang sesuai untuk memulakan satu lagi perang dunia.
Buat sementara ini, elok sahaja Hiroshima dan Nagasaki dilupakan. Krisis conscience dan keinsafan hari ini nampaknya tidak akan dapat diselesaikan dengan mempelajari pengalaman dan kebebalan manusia yang lampau.

Share :
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
TERKINI

ARTIKEL BERKAITAN

Arkitek Pemusnah Demokrasi Negara

24 Februari 2020 Azmin Ali telah dipecat dari jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat setelah terbongkar usahanya bersama musuh untuk menubuhkan Kerajaan Pintu Belakang. 23 Februari akan selamanya tersemat dalam minda rakyat sebagai Langkah Sheraton, langkah menidakkan keabsahan Pakatan Harapan yang dipilih oleh rakyat pada PilihanRaya Umum Ke-14.

Baca Lanjut »