Dalam semangat mengangkat maruah dan menghargai pengorbanan kaum buruh di Malaysia, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah memberikan peruntukan sebanyak RM 1 juta kepada Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dalam memperkuatkan pengurusan kongres kesatuan-kesatuan sekerja, sempena Hari Buruh.
Kami melihat Kesatuan Sekerja harus diperkuatkan kerana dengan advokasi dan gerak kerja mereka, hak dan kebajikan pekerja-pekerja di Malaysia yang turut melibatkan graduan-graduan lepasan universiti dapat dimartabatkan.
Kami meyakini langkah ini membuktikan kerajaan perpaduan komited untuk menyediakan ekosistem yang sihat buat Kesatuan Sekerja untuk terus menuntut hak-hak yang memastikan rakyat mendapat suasana kerja dan gaji yang lebih bermaruah.
Di Singapura, Kesatuan Sekerja diangkat taraf mereka melalui kaedah “Tripartism” yang menyaksikan kerjasama erat diantara tiga pihak iaitu kerajaan, kesatuan sekerja dan persekutuan majikan-majikan dalam memastikan ekonomi negara dapat tumbuh dengan pesat di samping menjaga hak dan kebajikan kerja.
Pertumbuhan, keberdayasaingan serta produktiviti ekonomi harus dilengkapi dengan nilai etika dan ihsan yang berpandukan prinsip Malaysia MADANI kerana matlamat akhir kepada ekonomi yang manusiawi adalah pembangunan insan serta negara bangsa yang maju dan progresif.