Seks Untuk Gred: Apakah Sebenarnya?

Angka jumlah keseluruhan pelajar yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi juga menunjukkan peningkatan dari masa ke semasa. Wanita kini, mendapat kesaksamaan terhadap peluang pendidikan yang lebih terbuka.

Daripada aspek pencapaian pendidikan (educational attainment), Malaysia telah mencatatkan Indeks Kesetaraan Jantina 2020 (Gender Parity Index) dengan angka 0.989. Ianya menggambarkan
kesaksamaan akses pendidikan yang semakin setara di antara wanita dan lelaki.
Kemasukkan pelajar wanita yang semakin meningkat ke dalam institusi pengajian tinggi membawa perhatian kepada isu gangguan seksual, keganasan berdasarkan gender (gender-based violence) dan serangan seksual di institusi pengajian.

Isu-isu sebegini selari dengan keganasan terhadap wanita(violence against women) yang meletakkan wanita sebagai mangsa keadaan. Namun begitu, nukilan ini bukanlah untuk memaparkan aspek ‘victimacy’ yang terpaksa dihadapi oleh sesetengah wanita semata-mata , malah juga untuk melihat isu ‘seks untuk gred’ ini daripada satu perspektif yang bertentangan,iaitu kebarangkalian pengekspoitasian seks sebagai ‘komoditi’ dalam strategi mereka sebagai agensi pasca-feminis ;sebagaimana sesetengah wanita ungkapkan,dan bukan menjadi mangsa keadaan.

Tiada penafian dalam soal kita berbicara soal kes “seks untuk gred” kerana pelajar wanita mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk menjadi mangsa, relatif kepada pelajar lelaki.
Isu “seks untuk gred” ini masih belum menjadi fokus dan perhatian terhadap kebanyakkan kajian. Agak sukar untuk mendapatkan mana-mana kajian yang memfokuskan isu ‘seks untuk gred’ ini di Malaysia.
Malah, tiada rekod spesifik berkenaan dengan kes ini diperoleh. Pengunaan konsep yang bertindih dan terminologi yang mengelirukan menyebabkan “seks untuk gred” ini tidak dianggap sebagai suatu kajian yang berasingan,terutama dalam kajian-kajian lepas di luar negara.

Ini menyebabkan kesukaran untuk memahami mengapa dan bagaimana isu ini berlarutan dalam masyarakat, kesan kepada kesaksamaan gender,ketelusan capaian akademik pelajar dan etika keprofesionalan tenaga pengajar dan pelajar dalam pendidikan.

Kajian yang sedikit dan ketiadaan rekod rasmi tidak bermakna isu ini boleh dipandang enteng, malah ianya sewajarnya menjadi indikator agar isu ini mendapat perhatian(recognition) masyarakat.
Menurut kajian, seks untuk gred merupakan satu bentuk gangguan seksual yang sama seperti keganasan gender yang lain yang ‘menyerang’ minda dan fizikal serta menggangu kesejahteraan psikologi mangsa.
Disebabkan isu seks untuk gred ini kebanyakkannya dikaitkan dengan pelajar wanita (mangsa) dan pensyarah atau personel institusi pengajian (lelaki), terdapat juga kajian yang melihat isu ini sebagai “dominasi patriarki” dalam skala mikro atau makro di tempat belajar.

“ Seks untuk gred “ ini juga dilihat oleh sesetengah pengkaji sebagai “phallic attack” ke atas pelajar wanita, secara tidak langsung ianya memberi kesan kepada kesihatan dan pembelajaran mangsa.
“ Seks untuk gred “ juga merupakan bentuk pertukaran sesuatu untuk sesuatu (quid pro quo) oleh personel institusi pengajian khususya lelaki yang mempunyai tanggapan bahawa mereka mempunyai hak patriarki untuk mengadakan hubungan seks dengan pelajar perempuan mereka.

Biarpun dalam banyak keadaan “seks untuk gred” ini dilihat sebagai manifestasi kuasa (kebiasaannya oleh pensyarah lelaki) berbanding keinginan seks (sexual desire) itu sendiri, dalam perspektif yang berbeza,ia juga boleh dilihat sebagai ‘mutual agreement’ antara pihak yang terlibat disebabkan oleh had umur yang melebihi 18 tahun(consent age) dan seterusnya menimbulkan kekeliruan dalam menentukan si pesalah (perpretrator).

Secara peribadi, saya percaya bahawa tahap kesedaran pelajar wanita yang sering dijadikan mangsa dalam situasi sebegini. Namun begitu, dalam konteks “seks untuk gredl ini juga perlu dilihat kepada kebarangkalian untuk dieskploitasi oleh kedua-dua pihak dalam transaksi seks, untuk saling bertukar kepentingan.

Di kebanyakkan negara-negara Afrika misalnya, penggunaan seks sebagai transaksi untuk membeli dan mendapatkan keperluan material,status ekonomi yang lebih tinggi, pencapaian akademik yang baik, sokongan kewangan atau status sosial merupakan suatu norma, seolah-olah menjadikan seks sebagai ‘mata wang wanita’ dan keperluan untuk mendapatkan sesuatu.

Namun, struktur sosial dan kekangan ekonomi perlu diambil kira,kerana ia mempengaruhi persetujuan/kerelaan(consensual) hubungan seks antara kedua-dua agensi. “Seks untuk gred” ini banyak dilihat dari perspektif hubungan kuasa yang tidak setara(unequal power relationship) sehingga ianya menyebabkan banyak pensyarah lelaki yang merasakan mereka mempunyai ‘hak’ untuk berkelakuan sedemikian terhadap mangsa.

Aspek pilihan juga tidak boleh diketepikan kerana seks untuk gred ini boleh berlaku tanpa ketidakseimbangan kuasa hierarki di tempat belajar,tetapi rasa kesalingan antara kedua-duanya,disebabkan faktor umur, kematangan, kerasionalan dan pertukaran yang saling menguntungkan.
Pensyarah insititusi pengajian tinggi dan sesiapa sahaja yang bekerja rapat dengan pelajar berkemungkinan menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan seks dan mengambil peluang ke atas pelajar-pelajar yang bergantung kepada individu-individu ini.

Bentuk gangguan seksual yang bersifat memeras oleh pensyarah mungkin berlaku dalam bentuk usikan dan gurauan seperti sengaja (deliberate) menghilangkan kertas peperiksaan pelajar dan menggagalkan subjek dengan balasan untuk meniduri pelajarnya.
Di negara-negara yang mana dominasi personel institusinya adalah lelaki, lontaran ayat-ayat yang bersifat seksis banyak digunakan lebih-lebih lagi bagi menimbulkan pengasingan bahawa tempat ini bukan tempat anda dan secara natural meletakkan pelajar wanita sebagai mangsa(target) yang mudah untuk melampiaskan keinginan seks mereka.

Dalam konteks ini,seks untuk gred ini bukan sahaja merupakan penyalahgunaan kuasa autoriti mereka sebagai personel institusi pengajian,tetapi juga menunjukkan ketidaksaksamaan layanan gender(gender inequality) yang berlaku di tempat belajar.

Gangguan seksual ini boleh ditunjukkan melalui pandangan yang kurang menyenangkan, gurauan seksual secara lisan, menyentuh mana-mana bahagian badan mangsa secara tidak sengaja, postur yang bersifat seksual dari segi bahasa badan dan isyarat-isyarat lucah yang menunjukkan bahan berbentuk seksual (audio,visual,bacaan dan sebagainya) dan juga mengugut atau menawarkan sesuatu yang akan mempengaruhi prestasi akademik pelajar.

Berbeza daripada sesetengah pelajar wanita yang menjadi mangsa, terdapat juga mereka yang mengoptimum atau menggunakan seks ini sebagai taktik bagi kepentingan personal, dari segi gred yang lebih baik ataupun untuk mendapatkan kepentingan material yang lain.
Terdapat juga yang berbuat demikian bagi mencabar struktur sosial yang tidak adil bagi menjamin kedudukannya kini dan masa depan. Misalnya,taktik ini boleh dilihat melalui ugutan untuk menyebarkan permintaan seks pensyarah kepada orang awam untuk menjatuhkannya, ataupun sebagai balasan(retaliation) penggredan yang rendah kepada pelajar.

Ini menunjukkan bagaimana “seks untuk gred” boleh berlaku secara dua hala, iaitu pelajar wanita boleh menggunakannya untuk mendapatkan apa yang dimahukan,dan begitu juga sebaliknya oleh pensyarah lelaki.

Saya gusar kerana kes seks untuk gred masih tidak dapat mendapat perhatian ramai, malah tiada akta yang diperuntukkan secara terperinci di Malaysia yang membicarakan isu ini.

Memandangkan kes ini kebiasaannya didiamkan demi menjaga kredibiliti personel institusi pengajian dan juga nama insititusi itu sendiri, ‘culture for silence’ mungkin akan berlarutan, seterusnya keadilan tidak dapat ditegakkan buat mangsa,sedangkan si pelaku masih selesa dalam posisinya di institusi tersebut.
Dalam jangka masa panjang, ia menjejaskan kebolehpercayaan institusi pengajian tinggi dalam memberi impak positif kepada masyarakat iaitu melahirkan potensi intelek, fizikal, emosi dan rohani pada tahap kesempurnaan.

Lebih penting lagi, isu sebegini menimbulkan pertikaian terhadap peranan pensyarah yang sewajarnya mewujudkan suasana belajar yang kondusif dan selamat,serta lebih menggalakkan proses pembelajaran dalam kalangan pelajar.

Di institusi pengajian tinggi yang mana “seks untuk gred” ini merupakan suatu perkara yang biasa (prevalent), ia berkemungkinan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pelajar lelaki, merasakan bahawa kejayaan wanita dalam akademiknya adalah berpunca daripada keterlibatan (complicity) pelajar wanita dalam transaksi seks,dan menimbulkan konotasi keterbalikan diskriminasi (reverse discrimination).

Daripada pandangan mereka, “seks untuk gred” ini membawa kepada budaya pilih kasih (favouritisme) dalam kalangan pensyarah yang cenderung untuk melebihkan pelajar wanita yang melakukan hubungan seks dengannya.

Ini secara tidak lansung menimbulkan keraguan dalam kalangan pelajar lelaki terhadap ketersediaan wanita dalam melanjutkan pembelajarannya di institusi pengajian tertiari, kerana apabila prestasi pelajar wanita melebihi pelajar lelaki,ianya dikatakan berpunca daripada transaksi seks tersebut dan bukan daripada kemampuan akademik dan usaha pelajar wanita itu sendiri.

Walaupun sesetengah pihak mungkin mempunyai pandangan bahawa ‘seks untuk gred’ ini merupakan ‘kapital’ yang menguntungkan bagi pelajar wanita menaikkan gred mereka di institusi pengajian tinggi, bayangkan pula wanita yang menjadi mangsa kepada pensyarah sendiri yang mengugut untuk menjatuhkan grednya sekiranya tidak melakukan hubungan seks dengan pensyarah tersebut.
Dalam keadaan ini,pelajar wanita berkemungkinan akan terpaksa menerima ugutan pensyarahnya demi menjaga grednya,ataupun terus menghentikan pembelajarannya di institusi tersebut kerana tidak sanggup untuk membiarkan dirinya dilakukan sebegitu rupa.

Kedua-dua situasi ini secara jelas tidak menguntungkan bagi pelajar wanita kerana terpaksa menghadapi tekanan psikologi yang tinggi bagi menjaga maruah(dignity) dan juga pendidikannya.

Penulis tidak keruan memikirkan kebarangkalian kes ini berlarutan di negara sendiri dek tiada pendedahan dan juga tiada tindakan tegas yang diambil keatas kedua-dua agensi yang mengambil kesempatan.
Isu “seks untuk gred” ini lama-kelamaan boleh menjadi norma dalam sistem pendidikan, bukan kerana ia merupakan budaya yang diterima,tetapi disebabkan isu ini sudah menjadi sebahagian dalam sistem itu sendiri. Satu persoalan buat santapan minda semua, apakah masa depan pendidikan negara sekiranya prestasi akademik yang baik boleh dibeli melalui transaksi seks, ataupun pelajar wanita terus-terusan menjadi mangsa seks pensyarahnya?

Sekiranya sesiapa boleh mendapatkan gred yang baik melalui seks, pada luarannya (GPA yang tinggi) sememangnya kelihatan laku dalam pasaran kerja, tetapi hakikatnya ia mempengaruhi pengaplikasian pembelajaran secara praktikal di tempat kerja.

Maka, kerisauan adaptasi seks sebagai satu bentuk komoditi dalam pendidikan wajar dilihat daripada segi kualiti pengambilan kerja(employment) dalam jangka masa panjang.

Ia juga menimbulkan rasa sangsi terhadap kebolehpercayaan gred akademik dan juga pencapaian ilmiah yang lain terutama sekali dalam kalangan pelajar wanita. Wanita yang menjadi mangsa ‘seks untuk gred’ ini pula mungkin akan menjadi defensif terhadap rakan-rakan sekerja lelaki dan mungkin juga akan sering mempertikaikan kebolehan diri,seterusnya memberi kesan kepada kualiti prestasi di tempat kerja.

Persoalan utama yang timbul apabila isu ini diutarakan ialah bagaimana untuk boleh melindungi pelajar-pelajar wanita di institusi pengajian tinggi dan bagaimana gangguan dan serangan seksual boleh dielakkan daripada terus-terusan berlaku di institusi pengajian tinggi.

Penulis percaya, pelajar wanita yang menjadi mangsa cenderung untuk mendiamkan isu ini daripada melaporkan kepada pihak berkuasa kerana mereka tidak merasakan isu ini akan mendapat perhatian ,malah mungkin dipergunakan semula keatasnya untuk mempertikaikan hubungannya dengan personel pengajian tinggi tersebut.

Dalam kata yang lain,mereka gusar sekiranya dilabel pula sebagai ‘mengambil kesempatan’ dan tidak dilihat sebagai mangsa keadaan(fear of stigmatisation).

Untuk mengupas isu ini, penulis percaya wajar untuk kita kembali kepada pokok pangkal isu, iaitu sikap pihak masyarakat,atau lebih tepat, sikap pihak berautoriti itu sendiri.

Penulis juga percaya,kerisauan ‘isu ini tidak akan mendapat perhatian walaupun dilaporkan’ berpunca daripada kebiasaan pihak autoriti yang bertindak cuba untuk mempertikaikan keadaan yang dilalui oleh mangsa.

Pertikaian ini boleh timbul dalam bentuk mempersoalkan hubungan dengan si pelaku, cara pemakaian, pembawaan, kelakuan mangsa dan sebagainya. Dalam situasi sebegini, mangsa yang sudah sedia sedia tertekan dengan kejadian yang berlaku hanya akan hilang kepercayaan terhadap pihak berkuasa dan merasakan seolah-olah hilang pengharapan untuk ditegakkan keadilan buatnya.

Percubaan untuk mempertikaikan ‘pengalaman’ yang dilalui mangsa di peringkat pihak berkuasa akan menyebabkan mangsa terus mendiamkan diri kerana beranggapan tiada sistem sokongan untuk membantunya.

Sikap mendiamkan diri ini lama-kelamaan mewujudkan ‘culture of silence’ dan seterusnya menyebabkan isu yang sama berkitar tanpa dikenakan tindakan terhadap si pelaku. Sikap ‘tidak endah’ ini berkemungkinan membawa kepada isu yang lebih serius seperti tekanan dalaman dan cubaan bunuh diri oleh mangsa.

Seterusnya, kerisauan dalam kalangan mangsa wanita juga berpunca daripada ketiadaan atau kurang saluran di peringkat universiti/kolej yang dipercayai untuk melaporkan isu ini. Laporan kepada unit yang berkenaan dirisaukan akan didiamkan kerana keanggotaannya yang terdiri daripada personel institusi itu sendiri,demi menjaga kredibiliti pensyarah ataupun nama/kedudukan institusi tersebut.

Sikap bias unit/agensi berkenaan dalam universiti menyebabkan ramai mangsa mengambil tindakan untuk mendiamkan diri. Kegusaran untuk melaporkan kelakuan pensyarah yang merupakan sebahagian daripada pihak berautoriti institusi pengajian tinggi yang disegani juga dipercayai menjadi punca.

Mangsa merasakan seolah-olah mustahil untuk melawan (going against/retaliate) individu yang mempunyai autoriti di institusi pengajian kerana kepercayaan masyarakat terhadap mereka sebagai individu yang mempunyai etika dan keprofessionalan yang tinggi.

Dalam kata yang lain,mangsa gusar sekiranya tiada pihak yang menyebelahinya untuk melaporkan kelakuan si pelaku yang dipercayai orang ramai. Selain itu,ketiadaan eviden atau bukti untuk membuktikan kesalahan si pelaku juga menjadi punca utama isu ini sering didiamkan oleh pihak berkuasa.

Disebabkan kes “seks untuk gred” ini banyak berlaku di ruangan peribadi tertutup si pelaku, mangsa kekurangan eviden untuk membuktikan kejadian ke atasnya,apatah lagi apabila gangguan dibuat secara fizikal dan verbal dalam ruangan tersebut.

Bagi menangani kes-kes ini di peringkat institusi pengajian tinggi, penulis berpendapat wajar sekiranya keanggotaan unit yang mengendalikan isu ini sebegini terdiri daripada personel institusi itu sendiri,badan pelajar (kesatuan/majlis perwakilan pelajar), organisasi bukan kerajaan(NGO) berkaitan wanita dan integriti, aktivis dan pihak berkuasa.

Ini bagi memastikan ketelusan dalam pembuatan keputusan(verdict) keatas pensyarah atau pelajar itu sendiri, atau keatas kedua-duanya sekali.

Penulis berpendapat, sekiranya unit sedemikian hanya terdiri daripada personel institusi sahaja,ia mungkin dilihat sebagai badan yang tidak telus selain terdapat kecenderungan untuk memihak kepada sesetengah individu.

Maka, pembuatan keputusan dirisaukan akan berat sebelah dan tidak adil.
Polisi dan prosedur kampus yang adil dan jelas harus bertujuan untuk menghapuskan gangguan seksual dan kesannya.

Koordinasi yang lebih rapat dengan pegawai penguatkuasaan undang-undang yang terlatih dan berpengalaman misalnya akan meningkatkan kebarangkalian insiden yang berlaku akan disiasat dengan lebih teliti dan diadjudikasi.

Setiap institusi pengajian tinggi juga perlu mempunyai terma dan definisi yang jelas dan tepat dalam proses pembuatan polisi mengenai isu seks dalam kampus ini,samaada seks untuk gred dalam bentuk gangguan seksual ataupun pengekspoitasian seks oleh kedua-duanya.

Institusi pengajian harus menentukan peraturan,undang-undang, garis panduan yang jelas dan eksplisit untuk melaporkan, dan penalti yang sewajarnya untuk terhadap pesalah.

Dalam skop yang lebih luas, disebabkan insiden yang berlaku mungkin dilaporkan kepada pihak autoriti luar kampus,atau mungkin sahaja insiden tersebut berlaku di luar kampus, institusi tersebut dinasihatkan untuk merunding dan mengkoordinasi prosedur bersama-sama dengan polis dalam dan luar kampus, petugas kesihatan dan juga servis komuniti dalam memberi sokongan kepada mangsa serangan seksual.

Jalinan dan rangkaian yang berterusan memastikan polisi kampus dapat dikoordinasi dengan baik bersama-sama dengan penguatkuasaan undang-undang luar kampus dan membantu aktiviti kaunseling, rawatan, rujukan, penyimpanan rekod, siasatan, penjatuhan hukuman dan juga laporan.

Bagi menyediakan sistem sokongan bagi mangsa, pihak universiti/kolej wajar memperkasakan talian yang sedia ada yang boleh diakses di mana-mana sahaja sebagai talian kecemasan sekiranya insiden tersebut berlaku,dan sebagai bukti laporan yang dibuat oleh mangsa, semasa insiden berlaku, mahupun selepas itu.
Talian ini wajar diwujudkan dan diletakkan di setiap komputer/kemudahan awam yang terdapat di dalam kampus dan juga di setiap portal rasmi institusi tersebut sebagai ‘pop-up box’ setiap kali semua pelajar melayari portal tersebut.Ia perlulah disebarkan dengan baik (well-disseminated) dan boleh dicapai dimana-mana (readily accessable) oleh setiap pelajar di dalam mahupun diluar kampus.

Selain itu, personel institusi yang bertanggungjawab mengendalikan talian ini sewajarnya terdiri daripada wanita untuk memastikan mangsa lebih ‘selesa’ dan tidak kekok untuk melaporkan secara terperinci tentang insiden yang berlaku.

Penulis percaya ketiadaan undang-undang yang spesifik berkaitan dengan isu ini menyebabkan kebanyakkan mangsa hanya mendiamkan diri dan menyebabkan kitaran yang sama berulang.
Di Malaysia, hanya terdapat Akta Kerja 1955 dan Kanun Keseksaan yang mempunyai banyak kekangan. Sebagai contoh, Kanun Keseksaan tidak mendefinisikan gangguan seksual dengan terperinci dan meletakkan beban bukti kepada mangsa melebihi keraguan munasabah yang kebanyakkannya sukar bagi kes gangguan seksual.

Penulis berharap Rang Undang-Undang Gangguan Seksual yang dibentangkan Mac lalu dapat digubal menjadi undang-undang yang dikuatkuasakan dengan baik serta menjadi pelengkap dalam ruang lompong yang ada dalam perundangan.

Ia merupakan inisiatif yang baik dalam melindungi hak dan kehormatan wanita melalui definisi yang lebih menyeluruh, elemen mekanisme pengaduan dan penyelesaian yang lebih efektif, remedi dan penalti, selain pengesyoran standard pembuktian bersesuaian dan adil bagi pihak yang terlibat.

Isu ini juga perlu dipandang serius oleh Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pengajian Tinggi kerana ianya melibatkan kualiti profesional tenaga pengajar institusi tertiari dan pelajar itu sendiri, serta ketelusan penggredan oleh pensyarah dan pencapaian akademik pelajar.
Akhir sekali, penulis berharap masyarakat dapat membuka mata terhadap keseriusan isu ini. Permintaan seks demi kepentingan peribadi samaada oleh pensyarah atau pelajar itu sendiri merupakan amalan tidak beretika dan bermoral.

Daripada satu perspektif, ia bukan sahaja akan menjejaskan kesihatan fizikal mangsa, tetapi juga psikologi yang tentunya akan mempengaruhi pula pembelajarannya di institusi pengajian tersebut.
Penulis mengajak pembaca untuk meletakkan keadaan dalam situasi mangsa bagi benar-benar memahami tekanan yang dihadapinya selain memikirkan nasib pendidikan negara pada masa hadapan sekiranya isu ini masih tidak mendapat perhatian masyarakat.

Penulis berharap personel insitusi pengajian tinggi dan juga pelajar untuk sama-sama tidak meletakkan kepentingan peribadi serta mengamalkan etika kemoralan dan keprofessionalan yang tinggi sepanjang proses sepanjang pengajaran dan pembelajaran (P&P) di intitusi pengajian tertiari bagi menjaga kualiti sistem pendidikan negara.
Share :
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
TERKINI

ARTIKEL BERKAITAN