Namun sistem perkahwinan di Malaysia agak berbeza jika dibandingkan dengan negara lain kerana komposisi rakyat negara Malaysia terdiri daripada pelbagai agama sebagai contohnya orang Islam dan bukan Islam. Oleh itu, pemisahan undang-undang tersebut dapat telah dipratikkan terhadap orang Islam dan bukan Islam.
Bagi orang Islam, mereka mesti mengikut undang-undang Syariah dari segi sudut perkahwinan. Di bawah undang-undang Syariah, bagi kanak-kanak lelaki mestilah berumur 18 tahun sementara kanak-kanak perempuan mesti berumur sekurang-kurangnya 16 tahun.
Namun demikian, perkahwinan masih boleh dilakukan dengan persetujuan mahkamah Syariah. Oleh itu, walaupun dengan usia minimum 16 dan 18 tahun untuk berkahwin, orang Islam masih boleh melakukan perkahwinan bawah umur.
Sebaliknya, orang bukan Islam boleh berkahwin pada usia yang berbeza. Kanak-kanak lelaki dan perempuan mestilah berumur sekurang-kurangnya 18 tahun. Undang-undang sivil di Malaysia diwujudkan untuk semua agama kecuali agama Islam.
Walaupun di bawah undang-undang sivil, kanak-kanak lelaki mesti berumur sekurang-kurangnya 18 tahun untuk berkahwin secara sah. Tetapi bagi kanak-kanak perempuan, mereka boleh berkahwin seawal usia 16 tahun dengan izin ibu bapa mereka.
Justeru, di bawah undang-undang ini hanya kanak-kanak perempuan yang boleh berkahwin di bawah umur. Inilah perbezaan antara undang-undang sivil dan undang-undang syariah di Malaysia.
Tuntasnya, perkahwinan bawah umur masih berlaku kerana sistem undang-undang di Malaysia. Hakikatnya rakyat Malaysia sering dihujani dengan berita perkahwinan kanak-kanak bawah umur yang melibatkan terutamanya gadis-gadis muda dengan lelaki yang lebih dewasa.
Oleh yang demikian, perkara ini mesti menjadi perhatian oleh semua pihak kerana berkahwin pada usia muda mungkin tidak seperti pelangi setelah hujan seperti apa yang diharapkan oleh gadis-gadis muda.
Perkahwinan bawah umur adalah pelanggaran hak anak yang mempengaruhi pertumbuhan fizikal, perkembangan mental dan emosi, kesihatan dan peluang pendidikan. Terdapat banyak faktor mengapa perkahwinan bawah umur terus meningkat walaupun terdapat banyak peningkatan usaha yang cuba dilakukan di negara ini.
Antaranya, perkahwinan bawah umur adalah untuk melindungi gadis daripada ancaman dan serangan seksual, diskriminasi gender antara lelaki dan wanita, tahap pendidikan yang rendah, budaya dan tradisi di seluruh dunia dan keadaan ekonomi isi rumah yang tidak stabil.
Perkahwinan bawah umur juga berlaku akibat kesan budaya yang merendahkan wanita dan gadis, malah mendiskriminasikannya dalam bentuk keganasan rumah tangga dan perkosaan dalam perkahwinan.
Perkahwinan bawah umur adalah isu kontroversi yang membimbangkan kebanyakan masyarakat terutama mereka yang berpengetahuan tinggi kerana terdapat perkahwinan yang mungkin memberi kesan buruk kepada pengantin yang masih di bawah umur.
Ini adalah masalah yang melibatkan kehidupan dan masa depan seorang gadis muda, di mana terlibat dalam satu perkahwinan awal yang dapat menggelapkan masa depan seorang gadis hanya kerana dia tidak dapat benar-benar melihat apa yang boleh terjadi padanya dalam dunia yang nyata.
Oleh kerana kebanyakan perkahwinan bawah umur sering berlaku disebabkan faktor kemiskinan, perkara ini menunjukkan terdapat ibu bapa yang mungkin berfikir bahawa perkahwinan adalah terbaik bagi anak-anak mereka dan mereka berpendapat bahawa perkahwinan akan menyelamatkan nyawa anak perempuan mereka.
Akan tetapi sebenarnya, perkahwinan bawah umur boleh menjadi sangat berbahaya sehingga boleh membunuh nyawa anak yang tidak bersalah. Banyak gadis yang berkahwin pada usia muda terdedah kepada bahaya melahirkan anak kerana badan mereka tidak berkembang sepenuhnya.
Tambahan pula banyak gadis tidak dapat menjana pendapatan sendiri kerana tidak mempunyai pengetahuan dan kelayakan asas untuk melakukan pekerjaan berkemahiran disebabkan mereka tidak mempunyai peluang terhadap pembelajaran di peringkat pendidikan tinggi. Persoalannya, sampai bila kita mahu melihat masalah ini berlaku berulang kali?

Arkitek Pemusnah Demokrasi Negara
24 Februari 2020 Azmin Ali telah dipecat dari jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat setelah terbongkar usahanya bersama musuh untuk menubuhkan Kerajaan Pintu Belakang. 23 Februari akan selamanya tersemat dalam minda rakyat sebagai Langkah Sheraton, langkah menidakkan keabsahan Pakatan Harapan yang dipilih oleh rakyat pada PilihanRaya Umum Ke-14.