Justeru itu, jika dilihat kepada cabaran dan peluang pekerjaan di dalam sektor industri kreatif sangat kurang menyerlah berbanding bidang profesionalisme yang lain. Terdapat beberapa perkara yang menjadi cabaran dalam bidang industri kreatif dengan musibah yang melanda negara seperti Covid-19.
Kebergantunggan sektor industri kreatif di dalam negara terlalu tertumpu kepada kerajaan. Hal ini sebenarnya memberi impak pertumbuhan yang perlahan dalam industri seni negara. Penumpuan industri kreatif sewajarnya diberi perhatian oleh pihak swasta bagi mengembangkan industri seni kreatif lebih berkembang maju yang seiring dengan dunia seni negara asia yang lain.
Jika kita lihat kepada seni lakon, rancangan televisyen dan rancangan ‘Game show’ di negara korea mendapat sambutan yang sangat tinggi di seluruh dunia. Perkembangan ini tidak hanya dilihat usaha tumpuan kepada kerajaan semata-mata tetapi juga campuran sokongan daripada pihak swasta dan kerajaan yang telah berjaya meningkatkan peluang pekerjaan sekaligus memberi sumbangan pendapatan hasil negara per kapita meningkat.
Selain itu, cabaran bagi industri kreatif negara di dalam negara kini adalah dari sudut penggunaan teknologi dalam media massa. Di dalam negara penghasilan animasi seperti filem agen ali dan upin-ipin telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Penghasilan filem 3D ini telah memberikan satu imej kebudayaan negara kepada masyarakat luar negara.
Penghasilan kutipan tayangan filem telah mencecah jutaan ringgit di mana hasil cukai bagi file mini telah di salurkan kepada kerajaan bagi mengutip hasil cukai pendapatan negara. Namun kekangan yang berlaku kini penggunaan teknologi animasi di Malaysia khususnya sangat rendah berbanding dengan negara maju seperti di Jepun.
Jepun merupakan gedung animasi yang berjaya menjual karya animasi mereka ke seluruh negara. Pengalihan suara turut dilakukan bagi tontonan orang ramai. Jualan animasi ini merupakan aset bagi negara mereka untuk menjana pendapatan negara dengan penguasaan teknologi yang baik.
Cabaran di negara seperti Malaysia pada era tahun 2020 ini boleh dikatakan industri kreatif dalam penghasilan menggunakan teknologi antara cabaran yang besar. Jika difahami dengan baik ini adalah satu peluang pekerjaan yang seharusnya di garap oleh graduan atau pakar-pakar IT untuk memasuki pasaran kerja.
Namun persaingan sudah pasti ada, untuk menempatkan diri bagi aliran IT penghasilan karya mutu berkualiti perlu diambil kira supaya mendapat tempat di sesebuah organisasi. Cabaran alaf baru dinegara ini jika kita boleh lihat seperti wabak Covid – 19 ini memberi tamparan yang hebat dalam industri kreatif.
Pasaran produk seperti jualan kraftangan batik, anyaman, ukiran, tekstil antara yang terkesan kepada peniaga. Dengan peratusan pelancong yang datang ke negara telah jatuh secara mendadak turut menjadi cabaran bagi peniaga yang hilang punca pendapatan, tambahan merosotkan pendapatan negara bagi hasil jualan hasil kraftangan ini.
Bagi syarikat swasta yang mungkin akan membuang pekerja gara-gara tidak mampu membayar gaji pekerja dilihat seperti telah menutup peluang pekerjaan bagi sektor industri kreatif. Dengan bantuan kerajaan yang diberikan secara one-off kepada IKS juga hanya bersifat sementara tidak dapat membantu peniaga menjual hasil kraftangan yang telah dihasilkan.
Rata-rata peniaga IKS ini terdapat golongan warga emas yang kurang mahir dengan aplikasi media sosial. Cabaran ini memberi dugaan yang besar bagi industri seni khususnya untuk berkembang dengan lebih baik.
Pengawalan selia industri kreatif oleh pihak berkuasa perlu di perkemaskan di dalam negara. Melihat kepada pasaran seni pentas khususnya artis yang berkarya dalam muzik mendapat cabaran yang sangat tinggi.
Selain bersaing dengan rakan senegara dalam industri muzik, seniman kita juga perlu bersaing dengan negara jiran dalam pasaran seni. Negara serantau yang mempunyai bahasa kepulauan Melayu yang hampir sama bahasanya, memberi cabaran bersaing artis-artis diluar negara dalam mendapat tempat di negara sendiri.
Pengawalan selia industri seharusnya menghadkan produk luar negara menembusi pasaran pada skala yang besar demi memberi ruang kepada seniman tanah air berkembang dan memberi sumbangan kepada negara setiap tahun.
Melihat kepada perkembangan industri kreatif antara cabaran yang sangat menggugat adalah kesedaran terhadap pentingnya industri kreatif ini. Kurangnya kesedaran terhadap kepentingan dan potensi industri kreatif dalam kalangan masyarakat merupakan antara isu yang dihadapi oleh industri kreatif di negara ini.
Masyarakat Malaysia sering memandang rendah kepada mereka yang terlibat dalam industri ini. Malah, masyarakat beranggapan bahawa bidang ini tidak mempunyai nilai ekonomi dan komersial yang tinggi. Imej karyawan di negara ini jauh lebih rendah berbanding dengan bidang-bidang profesional yang lain.
Akhir sekali, semua pihak perlu memainkan peranan penting bagi memupuk industri seni terus berkembang. Campur tangan badan kerajaan dan swasta memberi impak yang besar kepada peluang pekerjaan aliran kesenian khususnya. Tidak kira sama ada pengurusan atau pengiat seni, ianya penting untuk diberi perhatian.
Selain perhatian, peruntukan atau pelaburan juga antara faktor yang sangat penting bagi menyuntik program-program yang dapat memberi impak yang besar. Seperti contoh suntikan modal yang dilakukan oleh syarikat Oppo dalam program Maharaja Lawak Mega telah memberikan pulangan modal yang berlipat-lipat ganda.
Jesteru wang dalam penghasilan karya amat penting sebagaimana peruntukan bagi pendidikan, perubatan dan lain-lain untuk meneruskan kelansungan proses sepanjang tahun. Ini juga penting bagi indusri kreatif negara.
Rujukan:
- http://penyokongseni.blogspot.com/…/isu-dan-cabaran…
- Zaharul Lailiddin Saidon. (2013).
Seminar Hala Tuju Sekolah Seni Malaysia Tahun 2013. Bahagian Ko-Kurikulum & Kesenian Kementerian Pendidikan
Malaysia