Pemerkasaan jati diri dalam individu tidak seharusnya hanya bergantung kepada pendidikan di sekolah semata-mata, tetapi juga perlu diterjemahkan dalam bentuk kehidupan seharian.
Mengamalkan seni tidak lah bermaksud melambangkan kemunduran bagi kelompok masyarakat tersebut. Nilai bagi sesebuah seni tidak ternilai harganya, jika nak dibandingkan kemodenan yang ada pada hari ini masyarakat Melayu terdahulu lebih moden dan kreatif.
Sebagai contoh, kreativiti masyarakat dahulu dalam mendirikan sebuah rumah bukan sahaja untuk tempat berteduh dan berlindung diri semata-mata.
Rumah yang didirikan perlu ada sistem yang baik, selamat daripada ancaman musuh, pembahagian struktur ruang tidur dan juga ruang- ruang yang lain.
Seharusnya Melayu pada hari ini perlu melibatkan diri dalam bidang pengukiran dan memartabatkan seni ukir diperingkat persada antarabangsa.
Dalam penghasilan seni ukir bukan sahaja melahirkan imej semata-mata akan tetapi memberi mesej daripada penghasilan karya.
Sebagai contoh bagi ukiran itik pulang petang yang kebiasaanya berada di dinding rumah. Bukan sahaja sebagai perhiasan tetapi sebagai mesej memberi tahu kepada masyarakat perlu taat kepada pemimpin.
Ibu itik yang berada di hadapan dan diikuti oleh anak-anak itik menggambarkan rakyat yang taat mengikut kepada pemimpin.
Justeru, dalam sesebuah negara yang berlandaskan Raja dan berlembagaan, sebagai rakyat yang dipimpin perlu taat kepada pemimpin selari dengan ayat Al-Quran an-nisa 59:
“wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan para pemimpin dalam kalangan kamu”
Ayat ini secara jelas menunjukan bahawa mentaati para pemimpin itu selari dengan mentaati Allah. Melalui seni ukir sahaja memberi makna yang mendalam kepada masyarakat untuk menghormati para pemimpin.
Selain itu, seni mempertahankan diri Melayu iaitu Silat. Nilai seni silat selain daripada aksi pergaduhan, seni silat mendidik seseorang menjadi bijak dan membentuk jati diri yang lebih gagah.
Pemerkasaan seni silat dalam komuniti orang Melayu seharusnya wajib untuk dipelajari. Dalam membela mereka yang ditindas oleh bangsa sendiri mahupun bangsa lain, pembelajaran seni silat perlu dilihat sebagai imej kekuatan bangsa Melayu yang hebat.
Mutakhir ini, anak muda lebih berminat dengan rancangan televisyen K-pop. Sedikit demi sedikit seni Melayu yang sudah ada akan mati akibat kelalaian anak muda yang memuja budaya luar berbanding budaya Melayu itu sendiri.
Mahu berdiri atas jati diri apa lagi apabila seni warisan dalam diri tidak diabadikan dalam kehidupan.
Ibu bapa seharusnya bertanggungjawab dalam memberikan pendidikan awal kepada anak-anak untuk kenal warisan Melayu agar tidak tersasar jati diri mereka dengan budaya luar.
Akhir sekali, pemerkasaan identiti Melayu bukan hanya untuk dilaung ‘Hidup Melayu’ semata- mata tetapi pengaplikasian dalam kehidupan harian, seni itu perlu dipraktikan. Potensi seni amat luas dalam pelbagai disiplin ilmu.
Antaranya dalam bidang sains perubatan bagaimana figura- figura otot, otak, urat dan lain-lain menggunakan seni dalam pendidikan.
Seni mendidik manusia menjadi seseorang itu bijak kerana tidak terjadi sesuatu karya hanya keindahan estetikanya sahaja tetapi sesuatu karya itu juga mempunyai fungsinya tersendiri.
Maka pelajari ilmu seni dapat memperkasakan identiti Melayu melalui warisan yang sudah wujud bertahun-tahun.
“Jasad tanpa nyawa ibarat mayat, hilangnya seni dalam diri ibarat hilangnnya nilai sebagai Melayu sejati”