Saya mengambil maklum terhadap kenyataan yang bersifat rasis dan seksis dikeluarkan oleh YB Baling ke atas warna kulit YB Batu Kawan dengan sindiran “gelap” dan “tak nampak”.
Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya menentang sekuat-kuatnya perbuatan Ahli Yang Berhormat Baling tersebut yang memalukan bukan sahaja beliau sendiri tetapi juga memalukan Kerajaaan Perikatan Nasional di depan anak muda negara kita.
Perkara ini juga boleh dilihat sebagai salah satu jenis penghinaan terhadap masyarakat yang berkulit hitam dan juga masyarakat kaum wanita.
Ketika YB Kasthuri Patto (Batu Kawan) sedang mempersoalkan berkenaan kekurangan anggota parlimen wanita yang diusulkan bagi menggantikan anggota jawatankuasa pemilihan parlimen,bsuasana dewan menjadi kecoh apabila YB Abdul Azeez (Baling) berkata sebegitu dengan menghina seseorang warna kulit dalam dewan yang mulia tersebut.
Saya berasa amat kecewa dengan sikap YB Baling yang tidak matang langsung dan tidak menghormati sensitiviti wakil-wakil rakyat yang lain di dalam dewan tersebut. Mengikut Peraturan Mesyuarat 36, ia menyatakan tidak wajar untuk anggota Dewan Rakyat menggunakan bahasa yang menyinggung perasaan atau membuat komen bernada seksis.
Sikap segelintir wakil rakyat seperti ini telah menjadikan rakyat Malaysia berasa muak dan bosan dengan kancah politik negara terutamanya anak muda. Inilah salah satunya punca utama nengapa anak muda tidak melibatkan diri ataupun hilang semangat patriotisme dalam urusan pentadbiran negara.
Ini disebabkan prestasi segelintir wakil parlimen kita yang bersikap tidak matang berbanding kepada negara-negara maju yang lain. Sikap YB Baling tersebut telah menonjolkan beliau tidak mempunyai profesionalisme ketika mencelah di dalam Dewan Rakyat.
Jika dibandingkan dengan Parlimen Digital yang dipimpin oleh para belia, tidak ada keraguan bahawa para belia telah menunjukkan profesionalisme dalam kadar yang lebih tinggi dalam tatakelakuan mereka ketika membahaskan isu-isu rakyat semasa persidangan mereka. Anak muda pun telah berdebat dengan rasa penuh hormat, itulah yang dibuktikan oleh anak muda.
Isu tersebut menjadi lebih panas apabila YDP Dewan Rakyat, Speaker Azhar Harun yang baru dilantik tidak menggesa dengan menggunakan kebebasan dan peranan yang beliau ada supaya YB Baling menarik balik kenyataan rasis yang dikeluarkan olehnya. YB Jelutong bersama beberapa wakil rakyat juga turut menyoal tindakan Yang Berhormat Speaker yang tidak overrule kenyataan tersebut.
Oleh itu, saya secara tegasnya menyeru kepada blok kerajaan supaya tidak bersifat berat sebelah dalam isu ini dan kami mahu YB Baling dikenakan beberapa tindakan disiplin yang tegas kerana mengeluarkan kenyataan yang cukup rasis dan seksis. Wakil-wakil rakyat perlu sedar bahawa anak muda sedang menilai tahap kepimpinan dan kredibiliti mereka dalam menyelesaikan masalah rakyat dalam krisis Covid-19 ini.
Mereka perlu berusaha untuk memperkenalkan inisiatif-inisiatif khas bagi rakyat yang dapat merangkumi semua pihak untuk menangani krisis ekonomi pasca Covid-19. Ahli-ahli politik harus sedar bahawa betapa pentingnya persidangan parlimen bagi menyelesaikan masalah rakyat dan bukan sekadar untuk membuat sindiran yang tidak masuk akal.
Mahasiswa Demi Keadilan Sejagat!