Pengangguran: Apa Masalah Sebenarnya?

Setelah sekian lamanya Malaysia didondong dengan keselesaan menggunakan tenaga buruh yang murah dari aspek gaji yang melibatkan pekerja asing sehinggakan ianya menjadi masalah besar buat rakyat khususnya anak muda yang bergelar graduan.

Dasar tenaga kerja yang lemah dan terlalu menyekat kenaikan gaji pekerja menyebabkan kebergantungan kepada pekerja asing meningkat dari masa ke semasa.

Dalam satu forum pada tahun 2017, Encik Chua Choon Hwa, wakil daripada Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat telah mengakui bahawa menjelang tahun 2034, jumlah pekerja asing akan mencecah 7.5 juta yakni menjadikan mereka kumpulan kedua terbesar selepas Melayu Bumiputra.

Dasar tenaga kerja yang terlalu bergantung kepada tenaga buruh asing telah memakan diri apabila ianya menjejaskan kenaikan gaji pekerja secara keseluruhan. Bukan itu saja, malah ianya juga menimbulkan lagi satu masalah besar iaitu masalah pengangguran yang dipengaruhi beberapa faktor yang boleh dibincang dan dikongsikan.

Secara tidak langsung, ia akan menggambarkan sejauh mana kecekapan penggunaan sumber tenaga yang dimiliki sesebuah negara dan diguna pakai sebagai indeks dalam aktiviti ekonomi.

Antara faktor utama yang menyebabkan kadar pengangguran mempunyai risiko untuk naik mendadak ialah apabila wujudnya sikap graduan yang terlalu memilih pekerjaan sehinggakan ada dikalangan mereka yang memilih pekerjaan berdasarkan suasana tempat kerja yang berhawa dingin sebagai contoh. Jika soal gaji yang rendah yang diambil kira, ianya boleh dipertimbangkan kerana ianya melibatkan kos sara hidup yang kian meningkat.

Seterusnya, prestasi atau kelayakan graduan yang jauh berbeza jika dibandingkan jawatan dalam pasaran pekerjaan yang ditawarkan. Ianya boleh dikaitkan dengan kebanyakkan situasi yang berlaku pada hari ini iaitu ada di kalangan kerani biasa di sekolah atau syarikat-syarikat yang mempunyai kelayakan sebagai graduan diploma atau ijazah yang pada akhirnya menjadi seorang kerani.

Selanjutnya, penambahan ketara pusat pengajian tinggi sama ada kerajaan mahupun institusi pengajian swasta yang menawarkan jumlah dalam konteks kepelbagaian program yang keseluruhannya hampir sama. Ini menyebabkan peluang pekerjaan semakin terhad akibat daripada lambakan graduan yang rata-ratanya mempunyai kelayakan akademik yang sama.

Selain itu, sikap pihak majikan yang hanya memikirkan soal keuntungan dengan cara mengurangkan kos perbelanjaan dari aspek pengambilan pekerja yang mempunyai kelayakan akademik yang baik dan pengalaman yang luas tanpa memikirkan soal kemahiran dan prestasi syarikat.

Kesan daripada dasar tenaga kerja yang lemah dan tidak menekankan soal kebajikan pekerja dan perkembangan ekonomi negara boleh digambarkan dalam dua bentuk tindakan.

Yang pertama, kebanyakkan syarikat-syarikat hanya menumpukan perhatian mereka kepada aktiviti ekonomi yang hanya berdaya saing dalam konteks kos buruh yang rendah. Ini yang membezakan kita dengan negara-negara seperti Korea Selatan dan Singapura apabila isu kadar perusahaan aktiviti ekonomi di Malaysia dibangkitkan.

Kesan buruknya ialah apabila berlakunya gangguan kepada permintaan sebagai contoh kejatuhan ekonomi dunia dan pasaran eksport yang terjejas akan berhadapan dengan kerugian yang besar.

Jadi, dalam keadaan begini mereka tiada pilihan sama ada menutup perusahaan atau membuang pekerja bagi mengurangkan kos perbelanjaan agar perniagaan boleh diteruskan.
Yang kedua, dasar dasar yang diasaskan untuk menyekat kenaikan gaji pekerja telah menyebabkan kadar pengangguran meningkat lebih tinggi dari sebelumnya kerana jumlah pekerjaan yang baru diwujudkan merupakan kerja bergaji rendah dan berkemahiran rendah.

Buktinya, apabila sebahagian besar tenaga kerja tempatan yang majoritinya daripada graduan diploma dan ijazah berlumba-lumba untuk mendapatkan kerja yang bergaji rendah dan kerja yang tidak sesuai dan layak dengan kelulusan akademik mereka kerana peluang pekerjaan yang sangat terhad. Ianya bertambah parah apabila turut melibatkan pekerja asing.

Masalah ini merugikan setiap rakyat yang berhak atas kelayakan dan kelulusan mereka tetapi ia juga merugikan negara kerana tenaga kerja yang berpotensi menyumbang kepada kepesatan ekonomi negara tidak mendapatkan pekerja yang sewajarnya dan pendidikan yang dimiliki hanya sia sia.

Jika masalah ini berterusan, apa gunanya anak muda dan pelajar pelajar yang bersungguh sungguh berusaha untuk melanjutkan pelajaran ke peringat tertinggi tidak mendapat pekerjaan yang baik malah mereka juga berisiko untuk menganggur. Ianya belum lagi disentuh mengenai golongan peminjam PTPTN yang akan disenarai hitamkan jika tidak memulakan pembayaran dalam tempoh yang dikehendaki. Oleh sebab itu, perlunya perubahan di dalam sistem dan dasar tenaga kerja bagi menjamin bukan sahaja masa depan rakyat, tetapi juga majikan.

Statistik terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara pada Februari 2020 menyatakan bahawa kadar pengangguran pada nilai 3.2 peratus iaitu 510,000 orang dicatat setakat 31 Disember 2019. Tambah mereka, tarifan pada suku keempat tahun 2019 itu diambi, daripada jumlah 19 juta penduduk dalam lingkungan umur 15 hingga 64 tahun yang berada di dalam pasaran buruh.

Share :
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
TERKINI

ARTIKEL BERKAITAN