Baru-baru ini juga kita didatangkan dengan berita sedih dan merupakan pencabulan yang jelas kepada instituti negara bahawa bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman telah dibebaskan serta-merta.
Tan Sri Musa Aman kali ini telah dibebaskan daripada kesemua 46 tuduhan rasuah yang berkaitan dengan konsesi balak di negeri itu. Di bandingkan dengan situasi Riza Aziz yang terdahulunya diberikan “Discharge not amounting to an acquittal (DNNA)” yang bermaksud tertuduh tersebut masih dapat dibicarakan semula walaupun pertuduhan telah dilepaskan iaitu prinsip “double jeopardy” adalah tidak terpakai akan tetapi kali ini perlepasan daripada pertuduhan adalah dilakukan dengan skala dan impak yang lebih besar kepada pertuduh.
Situasi bagi Tan Sri Musa Aman adalah beliau telah diberikan “Full acquittal” terhadap kesemua pertuduhan yang dihadapinya dan ini bermakna Tan Sri Musa Aman adalah tidak dapat disabitkan dengan kesalahan tersebut lagi walaupun wujud keterangan yang baru.
Kami di pihak MKM sedar dan cakna bahawa perlembagaan iaitu Perkara 145 (3) seseorang peguam negara mempunyai kuasa untuk memberhentikan suatu prosiding yang sedang berlaku di mana-mana peringkat mahkamah di Malaysia.
Namun begitu, berikutan dengan beberapa siri penggunaan kuasa Peguam Negara dalam tempoh kerajaan PN memerintah, MKM berpendapat bahawa kuasa itu telah digunakan secara selektif kepada individu-individu elit politik.
Alasan yang sering dikemukan atas sebab perlepasan pertuduhan adalah alasan bukti yang tidak mencukupi, sekiranya bukti untuk pendakwaan tidak cukup maka adalah tidak logik bahawa pihak pendakwaan memulakan pendakwaan tersebut. Hal ini kerana, bagi suatu pendakwaan yang dijalankan pihak pendakwaan sepatutnya sudah mempunyai bukti dan alasan yang cukup.
MKM sekali lagi mengingatkan janji kerajaan PN pada hari pertama memerintah iaitu menjamin bahawa tiada unsur rasuah diamalkab di dalam kerajaan dan menjamin kebersihannya.
Adakah kerajaan PN telah lupa terhadap janji sendiri akibat mabuk dengan kuasa yang ada sekarang? Ianya jelas satu tamparan hebat buat kerajaan yang dipimpinan oleh Tan Sri Muhyiddin hari ini yang nampaknya sudah hilang kepercayaan dalam parlimen?