Lebih Muliakah Kita Dari Kaum Ansar?

“Kami tak boleh terima orang luar. Tanah ini untuk anak watan sini”

“Datang ke Yathrib bawa masalah. Pembesar Quraisy pun benci kau orang lagi kau mahu ke sini”

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatu.

Berikut adalah dialog orang-orang Aus dan Khazraj sekiranya mereka membenci dan menghalang penghijrahan golongan Muhajirin ke Yathrib.

Penghijrahan Baginda Muhammad S.A.W. ke kota Yathrib telah diwahyukan oleh Allah S.W.T. Baginda telah melakukan Perjanjian Aqabah 1 dan 2 bersama wakil Aus dan Khazraj.

Dalam menelusuri Sirah Muhammad S.A.W., kita acap kali kurang mengambil iktibar nilai murni yang sepatutnya diambil pendoman. Orang kita selalunya bicara akan syafaat, keistimewaan dan material Baginda Muhammad S.A.W. Rambut Nabi, Darah Nabi, Bekas Peninggalan Jubah dan tapak kaki Baginda disanjung tinggi oleh orang kita. Malah simbol capal nabi diletakkan tinggi penghormatan meski tiada nilai keimanan pada simbol itu.

Berbalik pada sirah penghijrahan Nabi Muhammad, setibanya Muhajirin dan Baginda Muhammad, mereka disambut meriah oleh orang-orang Yathrib yang menyambut baginda. Ucap-ucap selamat disampaikan. Kaum Ansar (kaum asal di Yathrib) menyambut Kaum Muhajirin (kaum muslim dari Mekah) dengan penuh kasih sayang. Ditawarkan segala harta, tanah dan ladang kepada sesama saudara yang tidak pernah mereka jumpa. Hal ini kerana orang Muhajirin berhijrah ke Yathrib membawa hanya keperluan asas bersama mereka. Saya sering tertarik cerita Abdul Rahman Bin Auf, saudagar kaya raya di Mekah berhijrah ke Yathrib sehelai sepinggang. Apabila ditawar harta dan tanah, Abdul Rahman menolak tetapi meminta ditunjukkan di mana pasar untuk beliau berniaga. Alhamdulillah Allah kembalikan kekayaan melimpah ruah kembali kepada beliau.

Penghijrahan ini bukanlah suatu yang mudah. Saat orang muslim ditekan, dizalimi dan dianiaya di Mekah, Allah telah berfirman kepada Muhammad S.A.W. agar seluruh muslim berhijrah ke Yathrib. Orang-orang Yathrib tentunya tahu kekejaman orang Musyrikin Mekah terhadap muslim di sana, meski Musyrikin Mekah itu kuat, berpengaruh dan berkuasa mereka berlapang dada menerima Perjanjian Aqabah 1 dan 2 untuk kaum muslim berhijrah ke Madinah. Akibatnya banyak perperangan antara Musyrikin Mekah dengan kaum Muslim antaranya Perang Badar, Perang Uhud dan Perang Khandaq. Tidak mereka sesama Muslim menuduh musibah ini datang dari kaum Muhajirin yang berhijrah. Sebaliknya Allah menambah keimanan dan ketaqwaan sehinggalah Pembukaan Kota Mekah.

Moral dari cerita penghijrahan orang Muhajirin dan diterima oleh orang Ansar ini sedikit sebanyak terkait dengan pengkisahan masyarakat Malaysia kita dan Etnik Rohingya yang menjadi pelarian dari tanah mereka. Suatu etnik yang dizalimi, dianiyaa di tanah mereka datang ke tanah kita untuk berlindung. Berdasarkan sirah Muhammad yang telah kita bincangkan tadi, adalah kewajiban kita untuk menerima dan melayan mereka dengan penuh kesopanan dan kelembutan. Perlu diberi hak yang sewajarnya kepada mereka.

Realiti Pelarian Etnik Rohingya di Malaysia ini tidak mendapat hak yang sewajarnya. Bukan memberi hak kewarganegaraan akan tetapi hak-hak asasi sebagai manusia, sebagai insan. Oleh kerana Malaysia tidak meratifikasi Konvensyen PBB berkaitan perlarian, mereka tidak dapat bekerja secara sah di Malaysia, anak-anak mereka tidak mendapat akses pendidikan di sekolah kita, malah mereka datang dipandang sinis seperti mahu mengambil alih negara kita.

Allah S.W.T berfirman di dalam Surah Al-Hujurat Ayat 13 bahawa manusia ini dicipta bersuku-suku untuk saling mengenali. Dan yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa. Tambahan di dalam Surah Al-Hujurat Ayat 11 Allah berfirman keras menghalang manusia dari caci maki sesama manusia, dan sesiapa yang tidak bertaubat maka mereka dari golongan yang zalim. Sekalipun tidak bersetuju dengan kebiadapan sesetengah dari mereka, berlaku adil dan ihsan itu tuntutan besar Al-Quran. Umat Islam tetap kena ada ihsan sesama manusia apatah lagi saudara seislam. Ini adalah prinsip Maqasid Syariah yang meletakkan Maqasid Agama (addin) dahului Bangsa mahupun Harta (annasab wal mal).
Allah melarang kita menzalimi manusia yang lain, apakah kita lagi bagus daripada Tuhan?

Dimanakah nilai kemanusiaan kita sebagai seorang manusia? Apakah laungan Islam yang dipekik hanya takat melepas bibir? Mengapa tidak kita memberi penghormatan sewajarnya kepada mereka saudara Rohingya kita. Berikanlah mereka hak asasi sebagai manusia. Jika boleh pimpinan kita berundinglah dengan negara Myanmar dan OIC serta PBB isu pelarian Etnik Rohingya ini. Contohilah semangat Kaum Ansar yang berlapang dada menerima dan membantu saudara seislam.

Sedangkan Raja Habsyi melindungi diplomat kaum muslim yang dikirim oleh Nabi Muhammad S.A.W. dari dibunuh oleh Musyrikin Mekah, apa yang kita mengarut minta etnik Rohingya dibiar kelaparan di tengah laut?

Renungkanlah wahai saudaraku.

*Yathrib dimuliakan oleh Allah. Baginda Muhammad menukar namanya kepada Madinah dan sehingga ke hari kiamat jasad baginda di dalamnya. Semoga Allah melimpahi rahmat di tanah kita, Malaysia.

Share :
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
TERKINI

ARTIKEL BERKAITAN

Tuan Menteri Besar Jangan Tembak Kaki Sendiri

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan kenyataan tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh seorang Tuan Menteri Besar bahawa kononnya Negeri Pulau Pinang dimiliki oleh Negeri Kedah. Demi menyokong kenyataan halusinasi beliau, sampai Perlembagaan Persekutuan juga beliau minta untuk dipinda supaya sesuaikan dengan naratifnya.

Baca Lanjut »